25 April 2017

HIBAH dan APA YANG ANDA PERLU TAHU...

Wasiat - Phamplet MAIS.004


HIBAH

Hibah adalah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan.

Dalil Hibah
Firman Allah SWT yang bermaksud: “.... Dan memberi harta yang dikasihinya kepada keluarga terdekat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang yang terlantar dalam perjalanan, ……”
(Surah Al-Baqarah:17)

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Saling memberi hadiahlah kamu nescaya kamu akan saling sayang-menyayangi.”
(Riwayat Al-Bukhari)

Kadar Harta Yang Boleh Dihibah

Hukum Syarak memberikan kebebasan kepada pemilik harta untuk melakukan pemberian tanpa terikat kepada kadar tertentu. Bahkan, menurut ijmak, adalah harus bagi pemilik harta yang waras fikirannya menghibahkan keseluruhan hartanya. Namun Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya berlaku adil kepada anak-anak sebagimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Bertaqwalah kepada Allah s.w.t., dan berlaku adillah sesama anak-anak kamu.
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Elemen Qabd dalam hibah

Qabd adalah tindakan penerima hibah untuk menerima serahan, memegang atau menguasai barang yang dihibahkan oleh penghibah dan menjadikan barang itu milikannya. Qabd merupakan keperluan kepada hibah itu berkuatkuasa dan menerima hibah melakukan tasarruf. Hibah yang berlaku hanya dengan akad ijab dan kabul sahaja antara pemberi hibah dan penerima hibah tanpa wujudnya qabd adalah dianggap sebagai belum berkuatkuasa.

Hibah Semasa Marad al-Maut

Pemberi hibah yang ingin melakukan hibah dalam keadaan marad al-maut iaitu keadaan di mana pemberi hibah sakit tenat, sakit yang membawa kepada kematian atau sakit yang menyebabkan dia tidak mampu melaksanakan urusan hariannya, maka hibahnya tidak boleh melebihi daripada satu pertiga hartanya dan tidak boleh dihibahkan kepada ahli waris. Sekiranya ia berlaku sedemikian iaitu melebihi daripada satu pertiga harta dan diberikan kepada ahli waris sama ada kurang dari satu pertiga atau lebih maka ia tertakluk kepada keizinan atau persetujuan daripada waris yang lain.




Pembatalan Hibah

Hukum asal hibah adalah memberikan implikasi pemilikan yang lazim. Oleh itu pembatalan hibah adalah tidak boleh dilakukan. Ia sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Orang yang menarik kembali hibahnya adalah seperti seekor anjing yang menjilat kembali muntahnya.
(Riwayat Al-Nasa’i, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Al-Baihaqi)

Pengurusan Hibah

Hibah boleh diuruskan oleh sama ada wasi, pewaris atau badan amanah yang dilantik mengurus atau melaksanakan hibah. Proses pelaksanaan hibah bukan sesuatu yang mudah dan memerlukan masa dan pengetahuan mengenainya. Cuma apa yang bagus adalah, sekiranya proses membuat hibah tersebut dibuat dengan sempurna berserta bukti bertulis dan ada dokumen yang lengkap, ia menjadi mudah dah cepat serta menjimatkan kos.


Penyediaan Dokumen Hibah

Penyediaan dokumen hibah atau perisytiharan hibah adalah satu kaedah yang membolehkan harta seseorang dapat diagihkan kepada insan yang tersayang pada masa hidupnya terlebih dahulu.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...